Thursday, February 11, 2010

BAHAN PENULISAN ESEI

Tenaga elektrik hasil sisa buangan kilang
Oleh Mohd Saufi Awang
BATU PAHAT: Kilang sawit berpotensi menjana tenaga elektrik yang dihasilkan daripada pemerangkapan biogas yang dihasilkan daripada sisa buangan kilang dan tandan buah kosong bagi membekal tenaga kepada grid tenaga kebangsaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, 417 buah kilang sawit yang beroperasi di seluruh negara membekalkan 20 juta tandan buah kosong, 58 juta sisa kilang sawit (POME) yang berpotensi menjana tenaga 1335 megawat (mw).

“Pengeluaran tenaga dari sisa buangan sawit daripada sumber boleh diperbaharui selaras dengan penekanan kerajaan terhadap penggunaan tenaga hijau bagi mengurangkan penggunaan tenaga dari sumber fosil.
“Penggunaan sisa buangan kilang sawit adalah sejajar dengan konsep ‘waste to wealth’ untuk memaksimum penggunaan bahan buangan sawit bagi menjana pendapatan industri,” katanya.

Komitmen Malaysia terhadap penggunaan tenaga hijau bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang menyebabkan pencemaran. Malaysia komited bagi mengurangkan sebanyak 40 peratus GHG menjelang 2020 seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri ketika Persidangan COP15 di Copenhagen Disember lalu.

Peningkatan pelepasan GHG ke udara menyebabkan pencemaran udara dan pemanasan global yang boleh mengancam kesejahteraan masyarakat dunia.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja bagi meninjau operasi Bell Eco Power Sdn Bhd di Batu Pahat, Johor yang menghasilkan biogas dari tandan buah kosong.

Loji Bell Eco Power bernilai RM13 juta adalah yang pertama di Malaysia yang menghasilkan tenaga dari sisa buangan kilang sawit yang disambung kepada grid tenaga kebangsaan. Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid dan pegawai kanan kementerian.

Dengan kapasiti pemprosesan 60 tan sejam, Loji Bell Eco Power berupaya menjana 2MW tenaga elektrik setahun yang dibekalkan kepada Tenaga Nasional. Di bawah pelaksanaan ‘Small Renewable Energy Programme’ (SREP), Tenaga Nasional menawarkan harga 21 sen seunit.

Pembabitan kilang sawit memerangkap biogas yang menghasilkan tenaga elektrik dapat menampung kekurangan bekalan tenaga di kawasan luar bandar bagi manfaat penduduk setempat.
Penghasilan tenaga daripada biogas menyedia peluang perniagaan dalam industri sawit dan boleh memanfaatkan faedah meliputi karbon kredit di bawah CDM, bekalan elektrik kepada grid dan mengurangkan masalah rawatan sisa buangan kumbahan sawit (POME) di kilang.

Kerajaan perlu meneliti kadar tarif yang ditawarkan kepada pembekal tenaga bebas (IPP) dan sambungan kepada grid tenaga kebangsaan bagi memastikan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui oleh kilang sawit secara mapan.

Katanya, kementerian akan melantik perunding bagi menjalankan kajian dan meneliti semua aspek berkaitan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui dalam industri sawit .

Pembabitan kilang sawit menghasilkan biogas dari sisa buangan kilang dapat meningkatkan imej industri sawit dan menangkis dakwaan pihak badan pertubuhan bukan kerajaan di barat yang mengaitkan pengeluaran minyak sawit yang tidak mesra alam. - Saufi@mpob.gov.my
Memastikan industri komoditi negara terus berdaya saing
Oleh Che Johari Mamat
Soalan: Sebagai Menteri yang meneraju Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), apakah visi dan misi utama Tan Sri bagi memastikan industri komoditi utama negara ini khususnya industri sawit terus berkembang dan berdaya saing?

Menteri: Visi dan misi utama Kementerian bagi memastikan industri komoditi terutama industri minyak sawit negara terus berkembang maju dan berdaya saing adalah seperti berikut:
• Meningkatkan produktiviti bagi merealisasikan Visi 35:25 atau mencapai pengeluaran 8 tan Minyak Sawit Mentah (MSM)/hek/tahun.
• Menghasilkan minyak sawit mapan (sustainable palm oil) yang mesra alam sekitar.
• Menangani halangan perdagangan dan mencari pasaran baru.
• Menangani tohmahan NGO barat.
• Meningkatkan kegiatan R&D dan menghasilkan produk baru
terutama tenaga diperbaharui dan produk dari biomas.

Soalan: Apakah langkah yang dijalankan oleh Kementerian dan agensi bagi merealisasikan peningkatan Produktiviti?

Menteri: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersama MPOB akan terus melaksanakan program yang dirancang bagi meningkatkan produktiviti terutama penghasilan Buah Tandan Segar (BTS) oleh Estet dan Pekebun Kecil sawit serta meningkatkan Kadar Perahan Minyak (KPM) bagi kilang memproses BTS yang menghasilkan minyak sawit.

Kementerian menetapkan Visi 35:25, iaitu mencapai pengeluaran BTS sebanyak 35 tan setiap hektar setahun dan 25 peratus KPM atau mencapai pengeluaran 8 tan Minyak Sawit Mentah (MSM) sehektar setahun pada 2020.

Bagi merealisasikan visi itu, Kementerian bersama MPOB merancang dan melaksanakan beberapa program seperti:
• Program tanam semula pokok sawit yang melebihi 25 tahun melalui Skim Insentif Tanam Semula Sawit (SITS 2008) dan Bantuan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua (PRE2).
Bagi Program SITS 2008, Kerajaan memperuntukkan RM200 juta kepada estet dan pekebun kecil bagi menjalankan penanaman semula pokok sawit berumur 25 tahun ke atas. Melalui program ini, 200,000 hektar sawit tua akan ditebang dan ditanam semula dengan anak benih berkualiti bagi memastikan peningkatan hasil.

Setiap estet atau pekebun kecil berhak menerima bantuan RM1,000 bagi setiap satu hektar yang di tanam semula. Sehingga kini, sejumlah 6,592 permohonan telah diluluskan dengan keluasan 202,226 hektar dan bayaran bantuan berjumlah RM202,226,000.

Kerajaan juga menyediakan peruntukan kewangan RM100 juta untuk program tanam semula pekebun kecil di bawah PRE2. Pekebun kecil yang mempunyai keluasan tanaman sawit di bawah 40.46 hektar layak memohon dan menerima bantuan sebanyak RM6,000 bagi setiap satu hektar untuk tujuan pembelian anak benih, baja, penyediaan kebun dan lain lain berkaitan penanaman semula. Sehingga kini, sejumlah 1,086 pemohon telah diluluskan dengan keluasan 4,286 hektar dan bantuan berjumlah RM25,716,000.
• Skim Bantuan Anak Benih Sawit Berkualiti.
Melalui skim di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9) ini, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk dimanfaatkan pekebun kecil untuk memperoleh bantuan anak benih sawit berkualiti bagi tanaman baru atau tanaman semula sawit.

Bantuan skim ini dikhaskan kepada pekebun kecil sawit saja dengan jumlah bantuan anak benih berkualiti tidak melebihi 5 hektar keluasan tanaman bagi meningkatkan pengeluaran hasil BTS.

Purata pengeluaran BTS pekebun kecil masa kini masih rendah iaitu di antara 12 hingga 16 tan sehektar setahun berbanding purata pengeluaran BTS estet yang sudah mencecah 28 hingga 30 tan sehektar setahun. Purata pengeluaran BTS Malaysia 2008 adalah 20.18 dan 2009 adalah 19.2 tan sehektar setahun.

Sehingga kini, sejumlah 5,602 permohonan diluluskan bagi skim bantuan ini membabitkan keluasan 18,354.5 hektar. Daripada jumlah itu 1,279 permohonan dari Sabah dengan keluasan 4,416.53 hektar dan 3,262 dari Sarawak berkeluasan 12,038.1 hektar.
• Program meningkatkan amalan penggredan BTS bagi pemerosesan menghasilkan MSM.

Kementerian bersama MPOB melaksanakan program ini bagi memastikan penggredan BTS diamalkan oleh pengilang, estet dan pekebun kecil sebelum ia diproses bagi menghasilkan minyak sawit. Melalui amalan penggredan BTS yang betul, Kadar Perahan Minyak (KPM) berupaya ditingkatkan sekali gus meningkatkan penghasilan minyak mentah sawit.

Program ini dilaksanakan bersama pihak pengilang, peniaga, estet dan pekebun kecil. Sepanjang 2009, sejumlah 6 Kursus Kemahiran Menggredan BTS dianjurkan membabit 314 peserta yang terdiri daripada Pengurus Kilang, Penyelia, Penggred, Peniaga, Estet dan Pekebun Kecil.

Soalan: Sektor Pekebun Kecil masih ketinggalan dari segi produktiviti berbanding Sektor Estet. Apakah langkah Kementerian bagi menanganinya dan sekali gus meningkatkan produktiviti sektor ini?

Menteri: Kementerian memang menyedari keadaan ini berlaku pada masa kini dan statistik menunjukkan dengan jelas bahawa purata produktiviti pekebun kecil adalah lebih rendah iaitu hanya di antara 12 hingga 16 tan sehektar setahun berbanding sektor estet yang mencecah 28 hingga 32 tan sehektar setahun. Purata pengeluaran BTS Nasional 2008 adalah 20.18.

Kementerian bersama MPOB dan sedang meneruskan langkah yang dirancang bagi menangani masalah ini. Antaranya adalah:
• Bantuan anak benih berkualiti bagi membantu pekebun kecil sawit yang tidak berkemampuan menanam anak sawit berkualiti yang dibekalkan oleh pengusaha tapak semaian yang diiktiraf oleh MPOB bagi meningkatkan penghasilan BTS dan taraf sosioekonominya.

Skim ini mulai dilaksanakan pada 2006 di Sabah dan Sarawak dan bantuan anak benih diberikan sehingga 7 hektar bagi setiap pemohon. Pada 2008, skim bantuan ini diperluaskan kepada pekebun kecil di Semenanjung dengan keluasan bantuan dihadkan kepada 5 hektar.

Sehingga kini, sejumlah 3,522 orang pekebun kecil seluruh negara yang menepati syarat ditetapkan menerima bantuan anak benih berkualiti di bawah skim bantuan ini.
• Bantuan Tanam semula pokok sawit yang melebihi 25 tahun iaitu bantuan kewangan yang diberikan di bawah dua (2) Skim, iaitu Skim Insentif Tanam Semula (SITS) 2008 sebanyak RM1,000 dan Skim bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Ke-2 (PRE2) sebanyak RM6,000 bagi setiap hektar bagi membiayai tanam semula pokok sawit.

Skim bantuan SITS dilancarkan pada Oktober 2008 dengan peruntukan kewangan berjumlah RM200 juta. Skim bantuan SITS ini juga terbuka kepada estet yang mempunyai ladang sawit melebihi 40.46 hektar (100 ekar) untuk tujuan yang sama.

Skim PRE2 pula dilancarkan pada Mac 2009 dengan peruntukan RM100 juta, hanya khas untuk pekebun kecil sawit yang mempunyai kebun tidak melebihi 40.46 hektar. Skim ini masih terbuka dan pekebun kecil masih boleh memohon untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Bantuan yang berjumlah RM6,000 sehektar ini adalah bagi membiayai kos penyediaan tapak, bekalan anak benih, menanam, baja, racun rumpai dan perosak. Sehingga kini, sejumlah 1,086 pemohon diluluskan dengan keluasan 4,286 hektar dan bantuan berjumlah RM25,716,000.
• Bantuan untuk integrasi tanaman dan ternakan dengan sawit.

Pekebun kecil sawit juga layak menerima bantuan bagi yang menanam semula sawit secara integrasi dengan tanaman lain seperti pisang, nanas, tebu melalui penggunaan sistem tanaman dua baris berkembar (double avenue) yang diperkenalkan oleh MPOB.

Pekebun kecil yang layak menerima bantuan RM1,500 sehektar dan RM500 lagi bagi yang mengguna pakai sistem dua baris berkembar. Amalan integrasi ini berupaya menjana pendapatan sampingan pekebun kecil selain pendapatan dari jualan BTS.

Kementerian juga memberi bantuan binatang ternakan lembu dan kambing kepada pekebun kecil yang layak untuk diusahakan secara integrasi di dalam kebun sawitnya.

Sehingga kini, sejumlah 2,410 ekor lembu telah disalurkan kepada 20 kelompok di bawah skim bantuan integrasi ternakan lembu dalam tanaman sawit dan 85 ekor kambing pula telah diberikan kepada 74 pekebun kecil untuk integrasi ternakan kambing dengan sawit.
• Bantuan Baja dan peralatan.

Bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan pam racun juga disalurkan kepada pekebun kecil yang tidak berkemampuan. Pekebun kecil yang layak dan memenuhi syarat ditetapkan akan diberikan bantuan jenis ini dari masa ke semasa.

Sehingga kini, sejumlah 1233 orang pekebun kecil termasuklah 615 orang dari negeri Sabah dan Sarawak telah menerima bantuan baja terutama bagi tanaman sawit tahun pertama.


Selain itu, bantuan teknikal juga diberikan bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan, seperti;
• Khidmat nasihat oleh Pegawai TUNAS MPOB.

Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat (TUNAS) ditempatkan di pejabat Wilayah, Cawangan dan Stesen MPOB di seluruh negara diberi tanggungjawab khusus bagi membantu pekebun kecil menanam dan mengurus tanaman sawit mereka. Pegawai ini akan turun padang dan bersemuka dengan pekebun kecil bagi memberi nasihat dan tunjuk ajar secara terus mengenai amalan penanaman dan penyelenggaraan kebun terutama amalan baik pertanian (Good Agricultural Practices) yang menjurus kepada peningkatan produktiviti.
• Mewujudkan Plot Demonstarsi pekebun kecil.

Plot Demonstrasi atau Kebun Sawit Contoh diwujudkan di kawasan sesuai bagi pekebun kecil melihat sendiri dan mempelajari teknik penanaman dan penyelenggaraan tanaman sawit secara betul yang berpotensi menghasilkan BTS yang tinggi.

Sehingga kini lebih 100 plot demonstrasi diwujudkan di seluruh negara bagi tujuan itu.

Menganjurkan seminar, dialog dan bengkel bersama pekebun kecil.

Aktiviti seminar, dialog dan bengkel bersama pekebun kecil turut diadakan dari semasa ke semasa bagi memberi maklumat, tunjuk ajar dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pekebun.

Aktiviti ini diadakan di Balai Raya, Dewan Orang Ramai dan di sekolah dalam kawasan tempat tinggal dan penempatan pekebun atau kawasan yang berhampiran. Ini adalah menyenangkan pekebun menghadiri majlis berkenaan dan pada yang sama pegawai Kementerian dan MPOB berjaya mendekati ramai pekebun sawit yang terbabit.

Sepanjang 2009 saja, sejumlah 71 aktiviti ini dijalankan di seluruh negara yang diuruskan secara langsung oleh pegawai TUNAS di kawasan jagaan masing-masing.


• Menubuhkan Kelab 30 Tan.

Penubuhan Kelab 30 Tan yang diselaraskan oleh MPOB bertujuan mengumpul pekebun kecil yang sudah berjaya mencapai hasil BTS 30 tan sehektar setahun atau lebih bagi berkongsi maklumat kejayaan mereka dan mendorong pekebun kecil lain yang masih rendah produktiviti turut serta berusaha meningkatkan penghasilan BTS kebunnya.

Sehingga kini sejumlah 520 pekebun kecil seluruh negara termasuk 158 di Sabah dan Sarawak telah berdaftar dan layak menjadi ahli kelab ini.
• Mengedar risalah, Warta Sawit dan Berita Sawit untuk maklumat.

Risalah, Warta Sawit dan Berita Sawit yang diterbitkan dan diedarkan kepada pekebun kecil di seluruh negara dilaksanakan oleh Kementerian dan MPOB bertujuan memberi maklumat mutakhir berkaitan industri dan penanaman sawit.

Menerbitkan Berita Sawit bersama akhbar Berita Harian sejak 2001 yang menyiarkan artikel dan berita berkaitan industri dan penanaman sawit yang boleh dijadikan sumber rujukan dan maklumat penting kepada pekebun kecil dalam usaha mereka meningkatkan penghasilan BTS.


Soalan 4: Mohon juga dijelaskan mengapa perlu Kementerian menekankan kepada peningkatan produktiviti?

Menteri: Agenda peningkatan produktiviti bagi semua sektor komoditi termasuk sektor sawit adalah agenda utama Kementerian saya. Oleh itu, Kementerian akan memberi tumpuan dan keutamaan dalam hal ini kerana ia juga salah satu KPI (Key Performance Index) bagi Kementerian ini.

Pada masa ini, kawasan tanaman yang sesuai bagi kelapa sawit sudah berkurangan dalam negara kita. Oleh itu, kita perlu meningkatkan penggunaan teknologi dan inovasi baru di samping amalan pertanian baik bagi meningkatkan produktiviti di kawasan tanaman yang sedia ada.

Hasil penyelidikan MPOB dan agensi penyelidikan swasta juga mendapati penghasilan BTS dan Minyak Sawit tanaman sawit bagi setiap hektar masih berupaya ditingkatkan melalui penggunaan teknologi dan inovasi baru. Penghasilan yang diperoleh masa kini masih rendah daripada keupayaan sebenar.

Dengan cara meningkatkan produktiviti ini, kita berharap industri komoditi utama negara akan terus kompetitif dan berdaya saing dengan komoditi lain di pasaran antarabangsa. Pada 2008, pendapatan eksport komoditi negara berjumlah RM112.4 bilion dan dari jumlah itu RM64.8 bilion adalah dari minyak sawit.

Soalan 5: Apakah langkah Kementerian bagi menghasilkan minyak sawit mapan?

Menteri: Kementerian ini juga bersama MPOB dan pihak swasta akan memastikan penghasilan minyak sawit mapan selaras dengan permintaan pasaran dan tuntutan pihak pengguna seluruh dunia. Kementerian akan memastikan amalan-amalan yang diguna pakai oleh industri bagi menghasilkan minyak sawit adalah amalan baik pertanian (Good Agricultural Practices - GAP) yang mesra alam dan tidak menyumbangkan kepada pelepasan gas rumah hijau yang mengakibatkan perubahan kepada iklim dunia.

Selaras dengan itu Kementerian bersama MPOB mewujudkan Kod-Kod Amalan (Code of Practices - CoP) bagi setiap rantaian pengeluaran bagi memastikan minyak sawit dihasilkan secara mapan. Ia membabitkan Kod Amalan pekebun kecil, estet, pengilang, pelumat isirung, penapisan minyak sawit, pengangkutan dan penyimpanan minyak sawit.

Pada masa sama Kementerian juga memastikan keputusan Persidangan Meja Bulat Kemampanan Minyak Sawit (RSPO) dilaksanakan bagi menghasilkan minyak sawit mapan. Kementerian bersama MPOB sedang dalam proses memberi taklimat kepada pekebun kecil sawit seluruh negara mengenai persijilan RSPO yang menjuruskan ke arah pengeluaran minyak sawit secara mapan.
Kilang sawit perlu guna tenaga hijau
Oleh Che Johari Mamat
KILANG memproses minyak sawit perlu meningkatkan penggunaan sumber tenaga hijau bagi mengurangkan kos pemprosesan dan pada masa yang sama turut mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan pencemaran yang berpunca berlakunya perubahan iklim dunia.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid berkata, ia adalah selaras dengan resolusi Persidangan Menangani Perubahan Iklim di Copenhagen, Denmark baru-baru ini di mana negara bersedia untuk mengurangkan pelepasan GHG kepada 40 peratus bagi menangani masalah itu.

“Perdana Menteri yang turut menghadiri persidangan itu mengumumkan, negara bersedia untuk mengurangkan pelepasan GHG itu menjelang tahun 2020, sekiranya mendapat bantuan teknologi negara maju dan mempunyai sumber kewangan mencukupi.”
Datuk Dr Mohd Basri berkata untuk merealisasikan matlamat itu, kilang minyak sawit yang berjumlah 417 buah sedang beroperasi di dalam negara ketika ini disaran supaya turut melaksana projek biogas bagi memerangkap gas metana daripada POME (palm oil mill effluent) dan digunakan sebagai sumber tenaga diperbaharui di kilang itu.

Kilang sawit juga disaran supaya beroperasi secara integrasi dengan membangunkan loji tenaga biojisim sawit menggunakan tandan sawit kosong (EFB) sebagai bahan bakar bagi menghasilkan tenaga diperbaharui.

”Pelaksanaan amalan mapan dan mesra alam ini adalah penting bagi industri sawit membuktikan penghasilan minyak sawit dilakukan secara mapan dan pada masa yang sama menggunakan teknologi hijau.”
“Sumber tenaga hijau ini boleh mengganti bahan bakar fosil untuk operasi pengilangan dan ini berupaya menjimatkan kos dan pada masa yang sama mengurangkan pencemaran dan pelepasan GHG.”

”Kilang sawit yang beroperasi di kawasan pedalaman boleh membantu membekalkan tenaga letrik yang dijana melalui penggunaan sisa buangan sawit sebagai bahan bakar,’ katanya.

Beliau menjelas, sebagai contoh, kilang sawit berkapasiti 60 tan/jam berupaya menghasilkan 5MW sumber tenaga diperbaharui dan boleh menjana pendapatan sehingga RM17 juta setahun sekiranya pengurusan POME dan air dilakukan dengan baik.

“Negara berhadapan dengan prospek peningkatan kos bahan bakar fosil termasuk gas, memandangkan bekalan semakin sukar diperoleh. Ini dapat diterjemahkan sebagai peningkatan kos bagi menghasilkan bahan bakar fosil dan meningkatkan harga bahan bakar pada masa hadapan.”
“Oleh yang demikian, langkah bagi menangani peningkatan harga bahan bakar itu adalah dengan cara meningkatkan penggunaan bahan bakar diperbaharui yang dihasilkan sendiri oleh kilang sawit berkenaan.”

Dengan cara ini, kilang bukan saja berupaya menjimatkan kos pemprosesan menghasilkan minyak sawit, malah pada masa yang sama merealisasikan matlamat pengurangan pelepasan GHG yang menyumbangkan kepada berlakunya perubahan cuaca.
MPOB tawar sokongan teknikal kepada Pakistan
Oleh Isa Mansor
MPOB akan memberi bantuan khidmat sokongan teknikal kepada kilang penapisan minyak sawit di Pakistan bagi menambahbaikan operasi dan berupaya menghasilkan minyak masak sawit berkualiti tinggi.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid berkata demikian pada seminar anjuran bersama MPOB dan Pakistan Edible Oils Refinery Association (PEORA) di sini baru-baru ini.

PEORA adalah persatuan gabungan kilang-kilang penapis minyak sawit di Pakistan yang mempunyai keahlian dari kesemua sembilan buah kilang penapis negara itu.
Beliau yang turut membentang kertas kerja pada seminar itu berkata persetujuan memberi khidmat sokongan teknikal itu adalah lanjutan dari satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada bulan Februari 2009 antara MPOB dan PEORA.

Melalui MoU itu MPOB bersetuju memberi bantuan khidmat sokongan teknikal kepada pengimport minyak sawit mentah Malaysia di Pakistan dengan mengadakan seminar teknikal serta lawatan teknikal ke kilang penapis minyak sawit di Pakistan.

Datuk Dr Mohd Basri berkata lawatan teknikal oleh pegawai MPOB ke sembilan buah kilang penapis minyak sawit di sekitar Karachi mendapati tahap keberkesanan operasi mereka masih boleh ditingkatkan bagi menghasilkan minyak masak yang berkualiti tinggi.
Perbincangan yang diadakan mendapat kerjasama dan sambutan baik daripada pengurusan kilang penapisan tersebut dan mereka bersedia menerima cadangan penambahbaikan yang disyorkan.

Beliau berkata Pakistan yang juga pengimport ketiga terbesar minyak sawit Malaysia pada 2009 selepas China dan Kesatuan Eropah. Import minyak sawit Malaysia oleh Pakistan mencatat rekod tertinggi setakat ini dengan jumlah 1.76 juta tan.

Industri penapisan minyak sawit Pakistan yang berkapasiti 5,500 tan sehari memerlukan 1.5 juta tan minyak sawit mentah (MSM) setahun jika beroperasi pada tahap kapasiti optimum.

Bagaimanapun, import MSM beberapa tahun lalu hanya sekitar 500,000 tan setahun. Berdasarkan statistik PEORA, import MSM Malaysia menguasai 86 peratus pasaran berbanding 14 peratus MSM Indonesia pada 2009. Pakistan mengimport hampir 358,000 tan MSM Malaysia pada 2009.
Datuk Dr Mohd Basri juga berkata, eksport MSM Malaysia ke Pakistan dijangka semakin kukuh berikutan penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Pakistan sejak 2008 yang mana import hasilan minyak sawit dari Malaysia diberi potongan cukai sehingga 10 peratus berbanding hasilan sawit daripada negara lain. Mulai Januari 2010 potongan cukai tersebut telah ditingkatkan sehingga 15 peratus.

Semasa seminar itu, Datuk Dr Mohd Basri Wahid membentangkan kertas kerja berkaitan pasaran minyak sawit Malaysia di pasaran dunia manakala Pengarah Pembangunan Produk dan Khidmat Nasihat (PDAS), Dr Kalanithi membentangkan kertas kerja berkenaan penggunaan hasilan sawit untuk makanan serta kelebihan nilai nutrisi hasilan sawit.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment